Selasa, 14 Disember 2010

Tip lanjutkan hayat telefon bimbit anda

Perkembangan teknologi telekomunikasi telefoni mudah alih wayarles meluncur begitu cepat sehingga hampir tidak terkejar oleh kebanyakan pengguna biasa, yang lazimnya hanya mahukan suatu peranti untuk berhubung dengan orang lain dengan cepat.


Telefon bimbit yang begitu versatil dan pelbagai fungsi itu kini semakin mengecil dan dipenuhi dengan begitu banyak fungsi-fungsi baru, seperti menjadi PDA mudah, menjaga kalendar anda dan banyak lagi fungsi lain yang pastinya meruntun tali hati pengguna sehingga sanggup mengeluarkan jumlah wang yang agak besar untuk memiliki telefon bimbit yang menambat mata mereka.

Di sebalik kecanggihan dan kefungsian amat berguna mod telekomunikasi tersebut, ia bukanlah suatu alat yang lasak dan tidak memerlukan perhatian dan penjagaan berterusan penggunanya. Seperti kebanyakan peranti yang bersifat elektronik, telefon bimbit mestilah dijaga dengan cermat.

Untuk itu, Nokia (M) Sdn Bhd menyarankan beberapa tip untuk mempastikan penjagaan telefon bimbit pengguna bagi membolehkan pemanjangan hayat medium telekomunikasi peribadi versatil itu.

Pertama: Kebanyakan telefon bimbit tidak tahan hentakan, tidak kalis air dan tidak kalis habuk, kecuali mungkin model Nokia 6250. Binaan litar elektronik di dalam semua telefon bimbit adalah amat halus, dan sebarang pendedahan kepada kerpasan, kelembapan dan cecair yang mengandungi mineral boleh menyebabkan hakisan ke atas litar-litar elektronik tersebut.

Kedua: Pengguna disarankan supaya mengelak daripada mengendalikan telefon bimbit dengan cara kasar, seperti menjatuh atau menghentaknya yang pastinya akan merosakkan papan litar dalaman.

Pendedahan kepada tempat berhabuk yang kronik boleh menyebabkan kotoran halus memenuhi ruang-ruang kecil pada permukaan telefon.

Ketiga: Pengguna dinasihatkan membersihkan telefon bimbit dengan mengelapnya menggunakan kain lembut yang telah dibasahkan sedikit dengan sabun dan air. Namun begitu penggunaan bahan kimia menghakis, pelarut pembersih atau serbuk atau larutan detergen kuat boleh merosakkan telefon bimbit.

Keempat: Kelasakan sesebuah telefon bimbit juga bergantung kepada ketahanan alat-alat elektronik dan bahan plastik tertentu. Suhu terlalu tinggi akan merosakkan komponen-komponen tersebut.

Begitu juga jika telefon diletakkan di tempat yang terlalu sejuk, seperti peti ais atau freezer, kerana apabila telefon itu digunakan semula pada suhu biasa, lembapan (condensation) akan terbentuk di dalam telefon yang pastinya akan merosakkan papan litar elektronik, dan merosakkan memori dan fungsi paparan.

Kelima: Penyelenggaraan bateri dan alat pengecas dengan baik juga amat penting ke arah menjamin prestasi optimum telefon bimbit pengguna. Kedua-dua komponen tersebut juga amat sensitif terhadap suhu sekeliling dan haba.

Jika bateri dicas terlalu lama, ia akan menjadi terlalu panas dan memendekkan hayat bateri, dan prestasinya akan menurun dan jangka standby dan komunikasi akan menjadi lebih singkat.

Nokia menyarankan para pengguna telefon bimbit jenama itu mendapatkan rujukan nasihat dan bantuan. Pengguna juga boleh mengunjungi laman Web Nokia Asia Pasifik di http://www.nokia-asia.com atau melawati laman Web Nokia di http://www. nokia.com.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komentar anda